photo afd2275d-f7e9-475e-90b8-dfb8339dccc7.png photo 39d5ffd5-afd8-47c8-9c8e-2c1091f0cfd5.png photo 2bf8a711-cf50-42c3-8384-7506f57887a5.png photo 000b02d1-ed4f-4216-9563-28f085507ff3.png

Monday, May 5, 2014



PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ada menyatakan bahawa pendidikan memainkan peranan utama bagi perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan petunjuk utama yang dapat mengukur dengan tepat kemajuan masa depan sesebuah negara. Dalam menghadapi persaingan ekonomi global pada masa ini, kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyat. Oleh itu, negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi akan menikmati kemajuan ekonomi yang lebih tinggi. 

Selain itu, pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa dan pengukuhan perpaduan. Melalui pendidikan, individu dapat meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan penyumbang aktif kepada pembangunan negara. Menerusi interaksi, individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan kaum dapat belajar untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan, seterusnya membina perkongsian pengalaman dan aspirasi untuk masa depan Malaysia. Melalui perkongsian pengalaman dan aspirasi inilah identiti nasional dan perpaduan negara dapat dipupuk. Sejak kebelakangan ini, sistem pendidikan negara telah menjadi perhatian dan perbahasan. Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan sistem pendidikan untuk menyediakan generasi muda secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Berdasarkan hakikat sesuatu sistem pendidikan yang kompleks dan rencam, setiap negara memerlukan tempoh yang panjang untuk melihat impak perubahan yang dilaksanakan. Oleh itu, Kementerian perlu mengambil tindakan yang beranidan pantas kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan dengan segera.

Objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan. Sejarah sistem pendidikan Malaysia, seperti negara lain di dunia, memberi penekanan terhadap pembangunan kandungan pengetahuan yang kukuh menerusi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa. Walau bagaimanapun, dari segi pengiktirafan di peringkat global, kemahiran murid adalah tidak mencukupi sekadar menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sahaja apabila mereka meninggalkan persekolahan. Tumpuan bukan hanya kepada kepentingan pemerolehan ilmu pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi. Prestasi murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu, namun pencapaian yang membanggakan itu menghendapi risiko, dari segi relatif dan mutlak. Hal ini disebabkan sistem pendidikan negara lain dapat meningkatkan prestasi murid dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Jurang pencapaian antara sistem pendidikan Malaysia dan negara lain semakin melebar. Keduanya, pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot dari segi mutlak. 

Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa murid seperti Programme for International Students Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan daripada pelbagai sistem pendidikan. Pentaksiran ini mengambil kira pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan. 

PROGRAMME INTERNATIONAL STUDENT ASSESSMENT (PISA)

Ujian PISA adalah merupakan akronim kepada Programme International Student Assessment yang diperkenalkan oleh Organisation For Economic Co-operation and Development (OECD). PISA adalah sebuah Program Penarafan Mutu Pendidikan bagi pelajar-pelajar 15 Tahun di sekolah-sekolah yang melibatkan negara-negara dari seluruh dunia. PISA telah menjadi Piawaian Antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia. 

PISA merupakan pentaksiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dikendalikan setiap tiga tahun. Objektif PISA adalah untuk menilai kecekapan dalam Literasi Bacaan, Literasi Matematik dan Literasi Sains dalam kalangan murid berumur 15 tahun. Literasi bacaan ialah keupayaan indiviidu memahami, menggunakan, membuat refleksi dan berinteraksi dengan teks bertulis bagi tujuan mencapai matlamat diri, mengembangkan pengetahuan dan potensi serta mengambil bahagian dalam masyarakat (PISA Framewor, 2015).Tumpuan pentaksiran bukan pada kandungan kurikulum tetapi keupayaan murid mengaplikasi pengetahuan dalam kehidupan sebenar. PISA dijalankan 3 tahun sekali bermula pada tahun 2000 dan penyertaannya juga meliputi negara di luar keanggotaan OECD dengan penglibatan 74 buah negara pada tahun 2009. Kali pertama Malaysia menyertai PISA ialah pada tahun 2010 sebagai kitaran pentaksiran untuk tahun 2009. 

SAMPEL KAJIAN PISA

Populasi kajian PISA adalah dalam kalangan murid yang berumur 15 tahun di semua jenis sekolah di Malaysia dan kerangka persampelan ialah semua jenis sekolah di Malaysia yang mempunyai murid berumur 15 tahun. Pemilihan sampel sekolah dilakukan dan dipilih secara rawak dengan menggunakan kaedah Stratified Multi Stage Cluster Sampling manakala pemilihan sampel murid dijalankan dengan memilih 35 orang murid berumur 15 tahun secara rawak dengan menggunakan aplikasi KeyQuest.

INSTRUMEN KAJIAN PISA

Instrument kajian PISA adalah melalui empat instrument iaitu ujian bertulis, soal selidik murid, ujian berkomputer dan juga soal selidik pengetua. Ujian bertulis merupakan soalan yang mempunyai gabungan item-item aneka pilihan dan soalan terbuka dan item-item ini disusun dalam kumpulan berdasarkan teks yang menggambarkan situasi dalam kehidupan sebenar. Instrument kedua iaitu soal selidik murid dilakukan dengan mengambil kira latar belakang murid, persepsi dan sikap murid terhadap Sains, Matematik dan kemahiran membaca. Selain itu, soal selidik ini juga mementingkan tahap motivasi dan amalan strategi pembelajaran murid. Instrument yang ketiga iaitu ujian berkomputer mempunyai antara 18 hingga 20 soalan yang berkaitan dengan penyelesaian masalah dan murid perlu menggunakan komputer untuk membuat simulasi sebelum menjawab soalan tersebut. Akhir sekali, soala selidik pengetua adalah bertujuan untuk mengumpul maklumat yang berkenaan dengan sekolah tersebut.

FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA PRESTASI MALAYSIA

Dalam kajian Kementerian Pendidikan, kedudukan yang tersorot berbanding negara-negara lain, disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu:

Sikap Murid
Dalam hal ini, ramai murid yang menyertai PISA tidak bersungguh-sungguh menjawab soalan PISA kerana mereka menganggap penilaian ini tidak penting. Oleh yang demikian, semasa pelaksanaan ujian PISA dijalankan, banyak soalan yang tidak dijawab oleh murid.

Format Soalan PISA
Jika dilihat dan diteliti, soalan PISA lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam adalah lebih ringkas dan berdasarkan rajah serta jadual. Oleh sebab itu, pelajar lebih menunpukan perhatian kepada perperiksaan awam dan kurang serius ketika menjawab soalan-soalan ujian PISA. Juga bentuk jawapan dalam Perpereksaan Awam tertumpu kepada jawapan pilihan dan tidak banyak berbentuk penulisan seperti dalam ujian PISA.

Keutamaan Guru
Faktor penyumbang yang seterusnya adalah keutamaan guru yang mana kebanyakan guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan mereka tidak mengambil masa untuk memahamkan murid dengan konsep. Guru juga menggunakan banyak jalan pintas iaitu menyuruh murid supaya menghafal terutamnya melalui latihan latih tubi. Oleh sebab itu, murid hanya menghafal tetapi tidak memahami konsep.

STRATEGI BAGI MENGATASI MASALAH KEMEROSOTAN PISA

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Sejak beberapa tahun yang lepas Kementerian Pendidikan berusaha menangani masalah kemerosotan ini, salah satunya dengan mengenalkan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Sistem PBS ini telah agak lama diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan banyak dikaji dan dibincang di Bangsa-bangsa bersatu. Ianya telah dilaksanakan di banyak negara di dunia termasuk negara-negaru maju seperti Australia, Britain, Hong Kong dan juga mulai diperkenalkan di Singapura. Pada masa kini pentadbiran sistem PBS dipermudahkan lagi dengan adanya sistem telekomunikasi dan ICT yang canggih di sesebuah negara. Tujuan utama sistem PBS ialah untuk menambah-baik hasil daripada institusi pendidikan negara. Ianya bertujuan mengeluarkan graduan-graduan yang lebih baik bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga di segi akitiviti ko-kurrikulum disamping mengumpul data tentang kelebihan dan kelemahan seseorng pelajar. Ia bertujuan mengubah sistem sekarang yang berorientasikan peperiksaan kepada yang lebih berorientasikan prestasi seseorang pelajar berasaskan pentaksiran dibuat diperingkat sekolah.

KSSR/KSSM
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan Kurikulum Standarrd Sekolah Menengah (KSSM) pula diperkenalkan pada tahun 2017. KSSR dan KSSM ini merupakan elemen baru iaitu inovasi dan kreativiti dengan subek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). 

i-Think
i-Think bermaksud innovative thinking (Pemikiran Inovatif) yang bertujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan pelajar yang kreatif, kritis dan inovatif. Program ini adalah hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) serta telah dirintis di 10 buah sekolah iaitu 6 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah sebelum diperkembangkan ke seluruh Malaysia. Dapatan pentaksiran antarabangsa (TIMSS dan PISA) mendapati kedudukan Malaysia semakin menurun dalam subjek bahasa, Sains dan Matematik. Kajian mendapati murid berpengetahuan, tetapi tidak tahu untuk mengaplikasikannya. Jadi pengenalan Program i-Think ialah adalah bertujuan untuk melahirkan modal insan masa depan yang mempunyai pemikiran kreatif, kritis dan inovatif serta memupuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan mampu berdaya saing.

Kaedah pembelajaran i-Think ialah dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Peta Pemikiran adalah alat berfikir yang dipersembahkan dalam 8 bentuk peta pemikiran secara visual yang mudah digunapakai dan difahami merentasi kurikulum. Ia boleh digunapakai oleh murid seawal usia 4 tahun. Ada 8 jenis peta pemikiran yang boleh digunakan iaitu peta bulatan, peta buih, peta buih berganda, peta pokok, peta dakap, peta alir, peta pelbagai alir dan akhir sekali ialah peta titi.

Kajian Susulan
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penanda aras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca. Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

HOTs (Higher Order Thinking Skills) atau pun Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) adalah sangat digalakkan untuk dipraktikkan dalam pengajaran Sains dan Matematik pada masa kini. Tambahan pula, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah giat mengadakan kursus dan taklimat menerangkan mengenai HOTs bermula pada Januari 2013.

Task Force PISA dan TIMSS
Task Force PISA dan TIMSS telah ditubuhkan selepas mendapat arahan YAB Menteri Pelajaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancang Pendidikan (JPP) dan diketuai oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Task Force ini memberi tumpuan untuk meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (HOTS) dalam kalangan murid dan guru.

RUMUSAN

Secara kesimpulannya, apa yang dapat dilihat ialah prestasi murid Malaysia adalah lemah, khususnya dalam Matematik, yang mana keadaan ini amat membimbangkan memandangkan penguasaan dalam mata pelajaran ini dianggap oleh OECD sebagai kunci kepada masa depan yang positif, kerana ia mempengaruhi keupayaan remaja untuk mengambil bahagian dalam pengajian tinggi di samping mencapai pendapatan yang diingini. Tambahan pula, Kajian Kemahiran Dewasa oleh OECD juga menunjukkan bahawa “kemahiran matematik yang lemah akan menghalang ketercapaian masyarakat kepada gaji yang lebih tinggi serta pekerjaan yang lebih memuaskan.”

Hal ini bermaksud Malaysia sedang menghadapi krisis yang membimbangkan dalam pendidikan dan sekiranya tidak ditangani, maka ia akan membawa kepada kesan jangka panjang yang negatif ke atas pembangunan ekonomi.